ARAFAH imageARAFAH image
Arafah dikenali sebagai ‘Arafat’. Dalam Al-Quran ianya disebut sebagai Arafat (عرفات) Arafah dan Arafat disebut dengan kata jama’ walaupun tempatnya satu kerana semua sudut tempat ini dinamakan Arafah. Ulama’ membezakan lafaz ini dengan lafaz mufrad ialah Arafah (9 Zulhijjah) dan Arafat bagi lafaz jama’. Di sini juga merupakan tempat malaikat Jibrail mengajar Nabi Ibrahim tentang manasik haji.


Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud, ”Haji ialah Arafah”. Maka jika seseorang tersebut telah berniat haji akan tetapi tidak sempat untuk berwukuf maka terlepaslah hajinya pada tahun tersebut.
Gunung Arafah atau Gunung Arafat merupakan sebuah bukit berbatu granit yang terletak di sebelah timur Mekah Al-Mukarramah. Tempat ini juga dikenali sebagai Gunung Rahmat (Jabal Rahmah). Menurut pandangan Islam, di puncak bukit inilah Nabi Muhammad SAW menyampaikan pesanan atau khutbah terakhir baginda kepada seluruh umat Islam yang menunaikan ibadah haji bersama baginda sebelum baginda wafat. Selain itu, ketinggian bagi bukit ini ialah kira-kira 70 meter.


Seterusnya,padang Arafah merupakan satu daerah yang sangat luas. Tempat ini juga merupakan tempat umat Islam melaksanakan rukun haji yang kedua iaitu berwukuf di Arafah. Rukun ini terlaksana bagi memperingati kembali peristiwa bagaimana Nabi Adam dan isterinya Siti Hawa telah dicampakkan ke bumi serta dikeluarkan dari syurga Allah kerana terpedaya dengan tipu daya iblis yang tidak berputus asa dalam menghasut mereka untuk memakan buah Khuldi. Mereka telah dipisahkan di dunia selama 40 tahun dan akhirnya kembali bertemu di Gua Arafah yang terletak di atas Jabal Rahmah. Di sini jugalah mereka bertahun-tahun memohon keampunan daripada Allah dan akhirnya keampunan mereka diterima oleh Allah.


Di samping itu, berwukuf di Padang Arafah pada 9 Zulhijjah membawa maksud berhenti seketika di Padang Arafah walau sesaat. Dengan cuaca yang panas terik, ia dapat memberi peringatan awal kepada umat Islam mengenai gambaran keadaan sebenar umat Islam sewaktu berada di Padang Mahsyar nanti. Hal ini di mana seluruh umat Islam tanpa mengira pangkat umur mahupun kedudukan, semuanya akan dihimpunkan di tempat yang sama untuk membuat pengadilan berdasarkan amalan baik mahupun buruk semasa hidup di atas muka bumi Allah ini.

                                                                                                                                                                       RASYIQAH
I BUILT MY SITE FOR FREE USING